Tuesday, November 14, 2017

Zamilooni

Dan di satu waktu
Aku ingin menjadi seperti Khadijah (R.A)
Yang akan menyelimutimu dengan tenang
Dan dengan rasa kasih sayang

Menjadi sumber kekuatan
Agar engkau tetap berjuang
Di dalam dunia yang penuh kepalsuan

Menjadi sumber cinta
Agar engkau mempunyai semangat
Untuk merubah segala paradigma

Menjadi sumber ketenangan
Agar engkau mampu melalui
Kedatangan hari-hari kelam

Kerana kita peneraju perjuangan
Rasulullah (S.A.W)

***

Apalah erti menjadi seorang manusia
Tanpa menyelusuri hidup Rasulullah tercinta
Dia... memperjuangkan kita
Mencintai kita tanpa mengenal siapa kita

Setiap satu langkah yang aku ambil, perjalananku terasa semakin berat. Pasir-pasir seperti ingin menelan diriku. Ini baru sedikit. Sedikit dari perjalanannya.

Bagaimana rasanya ketika para-para sahabat merentasi padang pasir untuk berhijrah... untuk berperang... untuk berjuang...

Aku...
Aku cuma mampu merasa malu.

Kurniakan aku syafaatmu...

Monday, October 30, 2017

Kembali Asing

Jamku mula berdetik kembali. Mendengar rentak detikannya membuat hatiku tenang. Muncul rasa sayang.

Aku memilih untuk kembali asing
Ditengah-tengah umat yang memilih untuk biasa
Sama - tapi berbeza

Apabila ditanya
Kenapa harus bersusah-susah
Kenapa harus berpenat lelah
Kenapa harus memilih payah

Kerana
Semua akan ditanya
Apa jasa tika di dunia
Adakah memikirkan hal diri sahaja
Atau berkorban demi agama

Maka hati akan tertaut pada hati-hati yang juga memilih untuk asing
Siapa saja- tidak kira jantina
Kerana kita satu tubuh
Cinta kerana Yang Maha Esa

Dari Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W bersabda,
“Islam datang dalam keadaan yang asing, akan kembali pula dalam keadaan asing. Sungguh beruntunglah orang yang asing.”

Tuesday, October 17, 2017

Pudar Sinar

Leila berjalan perlahan, matanya merenung karpet tanpa berfikir- membiarkan mindanya kosong seperti perasaannya saat itu. Walau berat, dipaksakannya dirinya untuk memandang kehadapan. Kelibat seseorang yang dikenalinya berada 100 m dihadapan. Tudung labuhnya berwarna krim menambahkan serlah jubahnya yang berwarna merah jambu. Sangat mudah untuk mengecam insan-insan yang mampu menolongnya bernafas kembali ketika Leila sesak untuk bernafas.

Tubuhnya yang lesu tiba-tiba merasa segar.

"Ka!" suaranya memecahkan kesunyian lorong ofis.

Kakinya melangkah lebih laju dan kemudian menjadi larian kecil. Tangannya menggenggam lengan baju wanita itu sambil tercungap-cungap mengambil nafas.

Wanita yang dipanggil memalingkan wajahnya kebelakang. Apabila matanya menentang mata Leila, dia tersenyum. . Dengan mata yang bersinar, Leila membalas senyumannnya kembali.

***

Setelah lama mencari dan membelek buku-buku sekadar untuk melepaskan rindunya pada bau buku dan kertas-kertas vintaj, Leila menarik pintu kaca Best Eastern yang berat itu untuk keluar. Leila memulakan langkahnya menuju eskalator tingkat bawah untuk membeli ais krim pelangi kegemarannya.

Tidak ramai yang berada di mall petang itu. Seorang wanita berada dihadapannya, mengenakan selendang bercorak bunga ros, blaus peplum dan jeans, juga beg tangan Gucci ditangan. Tumit tingginya memecahkan kesunyian mall petang itu.

Leila mempercepatkan langkahnya, melintasi wanita tadi untuk menuruni eskalator.

"Leila!"

Wajah Leila berpaling kebelakang, kearah sumber suara tadi. Wanita yang dilintasinya tadi memanggilnya. Anak matanya melebar ketika mengecami wanita itu.

"Ka!"

Rupanya wanita tadi ialah seorang yang telah banyak membantunya suatu masa yang lalu. Sepertinya dia telah sedikit sebanyak berubah. Tapi nilainya dihati Leila tetap sama seperti dulu.

Wanita tadi tersenyum. Leila juga membalas senyumannya. Hanya dia merasakan ada sinar yang pudar.

***

Mungkin juga hatinya yang pudar sinar.
Kerana mungkin Leila juga telah lupa.
Kerana Leila juga manusia.

Sepertimana aku.
Sepertimana kamu.
Sepertimana kita.
Sepertimana mereka.

Moga Allah tetapkan kita dijalanNya.

Tuesday, September 26, 2017

Rindu Lelah

Aku berteman akrab dengan lelah
Dan lelah sentiasa bersamaku
Agar aku menjauh dari rindu
Rindu yang selalu datang tanpa diundang

Sememangnya ada apa dengan rindu?

Rindu yang membuat aku menjadi takut
Takut untuk merasa perasaan rindu itu sendiri
Sendiri tersenyum lantas hiba
Hiba pada sesuatu yang belum pasti

Sememangnya apa yang belum pasti?

Tentang aku.
Tentang kamu.
Tentang kita.
Tentang semua.

Bahagia
Juga derita.

Tapi ada satu yang pasti.
Ajal. Ajal tetap pasti.

Sepasang tangan menggenggamku erat
Sila bergantung padaku katanya.

"Kau siapa?" kataku.

"Ketahuilah, aku... do'a-mu."


Monday, September 25, 2017

Kekuatan Bersama

Bisik hati ingin berkata
Janganlah kau bersendiri dalam duka
Kenapa tidak kita redah bersama
Kekuatan saf menjadikan kita tentera

Ukhtiku tercinta,
Jangan kau rasa kau bersendiri. Menjeritlah jika perlu, aku tidak tahu selagi kau tidak mengutarakannya.

Friday, September 1, 2017

Terlepas Pergi

Bukankah kita telah berjanji,
Bahawa kita akan saling melengkapi?

Bukankah kita telah berjanji,
Untuk sentiasa bersama tidak meninggalkan sesama sendiri?

Bukankah kita telah berjanji,
Bahawa syurga akan menjadi akhir destinasi?

Bukankah kita telah berjanji,
Untuk menegur sesama jika jahil kita kembali lagi?

Sekuat mana kita menggenggam,
Jika tangan yang digenggam tidak menggenggam kembali,
Seperti satin yang begitu lembut kainnya,
Akan terlepas pergi jugalah akhirnya.

Masih banyak lagi tangan-tangan yang sedang menghulurkan,
Meminta mereka untuk diselamatkan,
Buat mereka yang mampu menggenggam,
Kemana tujuan tenaga yang akan dikerahkan?






"Tolong.. jangan pergi."

Thursday, August 31, 2017

Anugerah

Aku akan selalu mendoakanmu
Agar kau sentiasa dalam redhaNya
Memperjuangkan agamaNya
Kapanpun kau akan tiba
Aku akan setia menunggumu
Jika benar aku telah tertulis untukmu
Dan kau telah tertulis untukku
Di suatu waktu kita akan bersatu.

Kau akan menjadi kemenanganku
Anugerah Tuhanku.

Selamat berjumpa
Dalam rindu.

Wednesday, August 16, 2017

Aku, Dulu

Aku peluk erat aku, dulu
Teman baru tak kenal aku yang lalu
Walau masih ada sisa aku, dulu
Jahil atau hijrah dia tetap- aku

Seperti dua dunia yang berbeza
Dulu dan kini ku buang nestapa
Seperti kita yang punya tujuh benua
Dulu dan kini ku ambil bahagia

Aku peluk erat aku, dulu
Teman lama kini melintasi aku sepintas lalu
Walau masih ada sisa aku, dulu
Hamba yang bermutu jadi tekad- aku

-------------------------------------------------------

Bak Merkuri yang orbit laju mengelilingi Matahari
Zaman silam ku kini berulang kembali
Where's the pause button I didn't even press play
In my head now all I have is "Just go away"

--------------------------------------------------------

Kau rasa senang kah nak lupakan zaman silam, zaman kelam, zaman hati tak tenteram, zaman yang ingin dipadam? Aku sentiasa ingat aku dulu. Di mata teman-teman masa lalu aku lihat diriku, dulu. . Tapi adakah kerana itu, aku akan buang penghijrahanku dan kembali ke suatu waktu dulu? Tidak begitu. Oleh kerana itulah, aku jadi kuat untuk bertahan menjadi diriku yang kini. Kerana diriku kini adalah evolusi yang dulu. Waktu lalu kini dalam dakapanku. Untuk buat aku lebih maju.

Aku sangat kasih pada teman-teman lamaku. Walau tidak semisi dan sevisi, walau bukan pada irama, walau bukan pada dansa, walau bukan pada lepak semata, mereka tetap utuh perkasa dalam jiwa. Hanya pendirian ku kini membuat aku lebih tenang pada mereka yang sama visi dan misi. Waktu akan bergerak pantas dan sekali aku tekan butang 'pause' aku tahu akan susah untuk bangkit lagi.

We don't have to throw everything away. Some have asked me how I stay consistent in change. You know... I ask myself the same thing. I keep praying that He will keep me on the right path. Change surely didn't happen overnight for me. And it surely didn't happen in 31,536,000 seconds. Little by little Allah introduced me to His book, righteous companies, the right path to seeking 'ilm. It was the journey- until now- as I look back- that was exciting. Full of ups and downs. Some days I wanted to go back to the old days but His Book kept me guided from going astray.

And Alhamdulillah, I feel really grateful that those of the past accepts me- for me and some even bonds with me stronger than ever without needing me to change who I am now- and what I am fighting for. Sekarang ada yang sudah cuba untuk solat, ada yang cuba untuk mengaji sekerat, ada yang cuba menutup aurat. Bagi aku, kamu hebat!

Some still find themselves lost. If you ask where I get my contentment from: Allah,The One and Only. You can find it in other means of entertainment but trust me, those are temporary. Because your reality only begins after your death. It's not just one try solat and you will find that peace you are searching for. It's in the desperate need to change who you are deep within. If you really want to change, you will seek it in the right environment. Because there is no solution to an incomplete equation.

Tanpa aku, dulu
Siapalah aku, kini.

Thursday, August 3, 2017

Secebis Rasa

"Thank youuu so much for this update! Jaga diri, jaga hati, jaga iman!"

Laila memeluk hangat sahabatnya setelah sesi "catch up" mereka. Lalu mereka pergi kearah yang bertentangan. Laila berjalan perlahan menuju keretanya. Butang unlock ditekan. Dia membuka enjin kereta. Memulai perjalanan dengan kelajuan 15 km/j dia menuju jalan keluar. Terlihat kelibat sahabatnya baru ingin masuk kereta. Sahabatnya melihatnya dan melambai. Laila menitip senyuman yang paling indah buat sahabatnya lalu kembali fokus pada jalan raya. Memasang signal, Laila pindah kejalan utama.

Tidak semena-mena air matanya jatuh berguguran. Hatinya terasa sempit.

"Ya Allah, aku ingin... aku ingin seperti satu waktu dulu. Lindungi sahabatku ya Allah. Tetapkan lah dia di jalan ini ya Allah. Lembutkan lah hatinya ya Allah. Dekatkanlah dia dengan al-Quran Mu ya Allah. Jadikanlah kami pejuang teguh agamaMu ya Allah."

Tinggal bunyi enjin kereta berdansa dengan tangisan Laila.

***

Dahulu kala aku beria-ia untuk bercerita bagaimana hendak merubah dunia
Kini lidahku kelu
Aku cuba belajar untuk memahami
Walau perit dan harus menelan rasa

Senyum saja..
Kau masih seseorang yang istimewa bagi diriku
Kau yang telah banyak membantuku menjadi diriku sekarang

Aku ingin bercakap tentang peritnya mujahadah
Tapi kefahaman kita kini sedikit sebanyak berbeza

Kita tahu Tuhan kita tetap sama
Allah, ajarkan aku untuk menerima

Kerana masing-masing punya kisah cerita
Siapalah pula aku untuk menebak asbabnya

Dalam setiap sujudku aku bertanya 
Ya Allah, bagaimana meraikan perbezaan?

Aku masih ingin menjadi sahabat tempatmu mencurahkan perasaan
Dan aku cuba memahami minatmu.. dirimu

Ampun tika aku kekok
Kerana jiwaku sedang merintih

Tidakkah kau rindu?
Walau hanya secebis rasa

Apakah kau merasa pilu?
Aku... akan sentiasa berdo'a.

Hanya secebis rasa.

Sunday, July 30, 2017

Ke Langit Ketujuh

Aku peluk rindu erat-erat
Lalu ku biarkan ia terbang

Oh angin helakan tujuannya
Biar sampai pada destinasi asalnya

Di langit ketujuh..


Wednesday, July 19, 2017

Bintang

Aku selalu ingin menjadi bintang.

Kini ternyata,
Aku lebih ingin
Jika kau menjadi bintangku.

Disini
Aku menunggu.

Tuesday, June 27, 2017

Salam Aidilfitri

Apa guna bertanya kerja mana
Jika tidak punya kerja terus dilupa
Kalau punya kerja "Gaji berapa?"
Apa kaitan jumlah dengan ziarah Raya?

Apa perlu gaji tinggi
Upgrade kereta, pakaian hingga lupa diri
Aku bukan kata semua begini
Cuma masing-masing punya lain definisi

Biar saja aku bersahaja
Meski bukan citarasa semua
Pakaian juga biasa-biasa
Kerana bermewah-mewahan bukan saranan agama

Kahwin bila? Anak berapa?
Kenapa tidak tanya mati bila?
Adakah Ramadhan pergi begitu saja?
Mana hilang peringatan bersama?

OH YA
Sebelum aku lupa
Selamat Hari Raya
Ampun maaf dipinta

26.06.2017

Baru keluar Ramadhan sudah dihantui rasa amarah? Allahu. Sobrun jameel ya qalb.

Monday, June 26, 2017

Dia Yang Tertinggal

Nama yang berulang-ulang difikirkan ku di bulan Ramadhan
Kini di pagi Syawal nama itu tetap berlegar diminda

Ka'ab bin Malik.

Manakah Ka'ab pada Perang Tabuk? Dia terleka dan akhirnya tertinggal. Bukan dia tidak ingin ya Rasulullah. Sama sekali bukan kerana dia tidak ingin. Tapi... dia hanya terlalai. Lalai beberapa detik yang menjadi waktu yang panjang.

Bukankah dia telah berjanji untuk menyerahkan jiwa raganya untuk Islam?

Lantaran itu 50 hari para sahabat berdiam diri. Salam tidak berbalas. Sepi, sunyi, sendiri- hanya berbalik kepada Ilahi.

Aku balik-balik terfikir.
Adakah aku juga leka dengan "duniaku"?
Aku mohon tidak.
Aku mohon tidak.
Aku mohon tidak.

Ka'ab bin Malik.

Kau tak berputus asa. Kau kejar redha dan keampunanNya. Kau hambaNya yang setia. Hari ke 50. 

"Wahai Ka'ab bin Malik. Bergembiralah! Bergembiralah!" Allah telah memberi keampunan dek kejujuranmu. Berbahagialah. "Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui."
[9: 41]

Hari kemenangan telah tiba. Ruh, kau bagaimana?

Tuesday, April 11, 2017

Mati

Refleksi
Untuk mencari solusi
Kehidupan yang penuh dengan misteri
Sampai bila aku akan berhenti?

Mati.

Tuesday, March 8, 2016

Aku Ingin Kembali

"Patutkah aku pergi?"

Terkadang apabila ingin berkumpul dengan mereka yang berusaha meraih pahala aku rasa seperti seorang yang kurang upaya. Siapalah aku berbanding mereka? Ibadah yang semakin hari kian sayu. Mulut berkumat-kamit dengan hati yang tidak basah. Ah malu ingin jumpa. Bisikan hati begitu kuat. Minggu pertama aku beri alasan. Kerja. Keluarga. Majlis. Assignment. Minggu kedua. Minggu ketiga. Sehingga aku hilang dari tatapan. Aku tenggelam dalam khalayan bisikan.

Kini aku jauh... dari mereka. Aku cuma mejadi pemerhati. Mereka nampak gembira dan berbahagia walau aku tiada. Jikalau aku terjumpa dengan mereka aku cuma mampu memberi senyuman pintas lalu gopoh pergi.

Berhenti!

Apa yang telah terjadi? Kenapa aku begini? Yang pasti aku tidak sendiri. Dahulu aku beria-ia untuk berada dalam pelukan sayap malaikat. Tapi apakan daya apabila aku teruji dengan komitmen dan tarikan dunia, aku tewas. Segala yang baik dikaburi debu dalam kacamataku. Aku kembali bersendiri. Menjadi kambing yang lari dari kelompoknya... hanya menunggu untuk dibaham serigala. Dan yang paling sedih sekali, aku membenarkan ianya untuk terjadi.

Tekan "forward ×8"

... Aku beranikan diri muncul di majlis ilmu. Hatiku bergetar namun aku melangkah maju. Aku terjumpa mereka teman-teman hijrahku. Ku hulurkan tanganku dan menghadiahkan mereka senyuman janggalku.

"Assalamu'alaikum."

Senyuman balas mereka bagai sinar rembulan dimataku.

Alhamdulillah Ya Allah, Kau masih memilihku.

Saturday, December 5, 2015

Lapis-Lapis Keberkahan


"Bahagia adalah kata paling menyihir dalam hidup manusia. Jiwa merinduinya. Akal mengharapinya. Raga mengejarnya. Tapi kebahagiaan adalah goda yang tega. Ia bayangan yang melipir jika difikir, lari jika dicari, tak tentu jika diburu, melesat jika ditangkap, menghilang jika dihadang. Di nanar mata yang tak menjumpa bahagia; insan lain tampak lebih cerah. Di denging telinga yang tak menyimak bahagia, insan lain terdengar lebih ceria. Di gerisik hati yang tak merasa bahagia; insan lain berkilau bercahaya."

Mungkin kerana aku terlalu mencari bahagia.. aku terlupa akan perlunya derita. Biarlah waktu ini aku terpaksa memulai sekali lagi. Mencari diri yang mengenal Ilahi.

Semuanya samar. Perasaanku hambar. Bagaimana mungkin satu kejadian mampu merubah duniaku 180 darjah? Aku ingin belajar mengikhlaskan. Satu suara menghasutku untuk membenci. Walhal telah diajar untuk menyayangi.

Ya aku harus benci. Pada diriku sendiri. Diriku sekarang yang seperti tak punya erti.

Ujian ini aku tak patut tewas. Ustadh Salim, jazakAllahu khaiyran katheera atas penulisan Lapis Lapis Keberkahan. Dalam diam kau banyak membantuku. Semoga Jannah menjadi destinasi terakhirmu.

Monday, November 23, 2015

Sekeping Kertas

Bila punya tissue dan bila minda melayari bahtera angan.

Ok. Aku berada dalam kursus. Hari yang ke... 11. Otakku telah liar mencari jalan keluar dari "knowledge overload".

Kerana sekeping kertas.


Keluh.

Aku rindu be'ah soleh(ah).

Sunday, October 18, 2015

Untukmu Sahabat Seperjuanganku

Buat ukhti yang sedang merasa lemah,

Tika kelopak matamu terbuka di dini hari, aku ingin kau tersenyum bahagia. Kerana masih punya waktu buatmu untuk memilih syurga. Bagaimana? Kata pada diri kau mampu berusaha!

Tanamkan dalam diri bahawa kau punyai kredibiliti untuk menginspirasi. Bila bergelar da'ie bukankah ianya tujuan yang suci? Ketahuilah, kau sebenarnya tidak bersendiri cuma barangkali kau terlalu memikirkan keadaanmu yang seperti tidak mempunyai fungsi.

Kita cuma punya satu nyawa. Aku tidak ingin nyawa itu terbiar lari entah kemana. Kerahkan sepenuh tenaga-mu untuk mencari redha Sang Pencipta. Usah membandingkan diri dengan teman tercinta. Seadanya, kau istimewa.

Jika aku diposisimu aku ingin lebih banyak membaca. Kerana pengembaraan-ku bermula dari Iqra! Sambil membantu ibu bapa tercinta, rumus satu perancangan buat kehidupan di dunia. Guna segala platform yang ada untuk menyebarkan risalah ternama.

Keluar dari zon selesamu. Ta'aruf dengan ukhti atau kakak-kakak yang belum sempat kau bertemu. Berjumpa dengan adik-adik atau sahabat yang sedang menunggu ketukan pintu. Kerana mereka akan memberimu lebih banyak ilmu. Berbeza pandangan mampu meluaskan fikiranmu untuk lebih maju.

Kenang kembali Sumayyah. Dia menegakkan kebenaran hanya dengan syahadah. Kini pesananku buatmu ialah jom mujahadah! Dengan sepenuh tenaga kita kerah buat akhirat yang cerah.

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ٠
(Al-Fajr : 27)

- Memberimu sebuah Paopu.

Kemana Tuju Ukhuwah Ini?

(Post ini telah ditulis dan terpuruk di dalam draft lebih dari 7 bulan. Kini telah punya sedikit tambahan.)

Aku ingin menjauh. Terkadang ukhuwah menjadi pahit. Aku kenal itu dari dua tahun yang lalu. Sekarang aku insan yang bukan lagi seperti dulu. Tidak berharap dan mengharap. Terkadang aku terlalai dan mengharap, namun berkali-kali aku disedari bahawa aku patut kembali kuat bersendiri. Bukan bermaksud aku patut lari. Cuma aku perlu belajar menyintai diri. Mencintai itu perit jika seseorang yang kau cintai tidak mencintaimu sepertimana kau mencintainya. Kau mengharapkan pengorbanan yang sama darinya seperti mana kau melakukan dirinya? Jarang sekali. Atau terkadang kita mengharap kitalah manusia terpenting bagi dirinya. Namun dia mempunyai orang lain juga. Walau ya, dirimu penting baginya. Namun sepertimana dirimu, dirinya juga punya yang lain yang penting dalam hidupnya juga. Dan tidak. Aku tidak ingin menjadi orang ketiga. Sudah puas.

Aku tahu diriku. Aku tidak ingin menyakiti diriku. Aku tahu dimana batasku. Ketawa banyak hati menangis. Sudah puas. Aku tidak mengatakan aku lah orang yang paling menderita. Bukan. Aku paling akrab dengan sifat Umar R.A. Dia menginginkan justifikasi. Aku juga suka apabila sesuatu perkara itu adil dan saksama. Kalau bagiku ia tidak adil buat diriku, aku akan pergi. 

Ukhuwah itu masih indah. Namun manusia memang tamak. Inginkan keprihatinan dari seseorang insan istimewa. Aku tidak mendapatnya dari ukhuwah sesama kerana masing-masing punya ukhti lain juga yang lebih 'special'. Aku tidak mengatakan aku tidak 'special'. Cuma aku cemburu dan aku tidak ingin tahu apabila bukan diriku yang menjadi nombor 1.

Jadi aku faham kenapa Allah menjadikan sifat manusia mencintai. Aku yang dahulu tidak ingin bercinta kini tahu kenapa Allah memberi seseorang itu pasangan. Kerana mereka akan saling cuba memahami. Dan akan memberikan perhatian khusus cinta tulus murni kepada yang satu. Aku menunggu itu.

Jadi aku lebih mencari tokoh-tokoh seperti Zainab al-Ghazali yang berdiri sendiri. Seperti Saad ibn Abi Waqqas yang setelah kemantapannya dihantar jauh untuk menyebarkan Islam. Nanti kita juga akan sendiri. Lebih baik aku menyendiri awal. Tapi aku bukan lari menjauh. Cuma aku lebih ingin berhati-hati menjaga hati dari dimakan bujukan hawa nafsu.

Memang cara ku menulis, membuatku seperti orang yang paling sedih didalam dunia namun ini cuma penulisan. Ketahuilah aku akan bangkit.

Aku teringat lirik lagu yang aku terkesankan dulu. 

Nobody knows who I really am
I never felt this empty before
And if I ever need someone to come along
Who's gonna comfort me and keep me strong

We are all rowing the boat of fate
The waves keep on comin' and we can't escape
But if we ever get lost on our way
The waves would guide you through another day

Pembimbingku? Allah :) Aku tahu itu.

Pembaca yang ku kasihi sekalian, ukhuwah itu penting cuma terkadang kita tersilap langkah. Bila diri rasa tidak diiktiraf atau disayangi, hati mula meronta dan tanpa disedari jauh dari Allah, jauh dari orang-orang yang membawa kita dekat pada Allah, kerana kita mengharap pada si pembawa itu lebih dari Pencipta sang pembawa. Berhenti sejenak dan muhasabah! Perasaan itu tidak disangkal ada namun apakah ia akan membantu pejuang-pejuang Islam yang lainnya? Bukankah perasaan itu akan membebankan misi? Misi yang satu iaitu tauhid! Mengesakan Allah.

Jika dirimu terasa sakit akan hal begini, semak kembali sirah Rasulullah S.A.W, kisah khulafa Ar-Rasyidin, kisah para-para sahabah sahabiyah dan para tabi'en. Mereka cuma punya 'one track mind' untuk kemenangan Islam, dan bukan untuk melayan hawa nafsu semata. Kasih yang mereka inginkan cuma dari Allah. Kerana apabila kasih Allah tercapai, kasih manusia akan datang sewaktu dengannya.

"Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, niscaya meraka dapat mengalahkan seribu orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan dia telah mengetahui bahwa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir, dan jika di antaramu ada seribu orang, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan seizin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."
(Al-Anfal : 65 - 66)

Bagaimana kita mampu berperang jika diri belum 'settle' dengan isu-isu kecil? Umat Islam selagi belum bersatu saf takkan mampu mengalahkan musuh. Wajarkah kita berkecil hati dan tidak berlapang dada dengan saudara Islam kita? Dan aku tidak bermaksud berperang yakni makna literal. Aku bermaksud perang jihad dengan ilmu dan diri. Kehidupan seharian kita. Adakah kita terlalu berbahagia dalam keindahan ukhuwah atau kita menjadi penggerak semangat untuk sekalian saudara untuk berbakti pada Ilah tercinta?

Bila aku membaca buku Abdul Latip Talib, tentang Khalid, tentang Al-Fateh, tentang Salahuddin dan lainnya, semangat ku meronta-ronta keapian. Dan ia membunuh segala rasa-rasa remeh di fikiran. Jadi kini aku ingin bangkit, menjadi pejuang Islam.

Seperti Khaulah Al-Azwar.

Wednesday, October 14, 2015

Monolog Diri

Terkadang amanah menulis itu menjadi berat. Sedarkah kita? Apa yang ditulis akan satu hari nanti disoalkan kembali kepada sang penulis. Dan ia lebih menakutkan jika sang penulis menulis untuk objektif yang abadi namun… tilawah al-Quran terbiar tidak diratapi. Dengan Al-Quran lah kita mengisi jiwa dengan iman. Iman itu pula akan menjadi tip pena yang akan menghiasi sesebuah penulisan. Lagi-lagi apabila penulisan itulah yang mungkin akan menjadi titik pandu seseorang mendapat hidayah. Jikalau sang penulis mengabaikan surat Sang Pencipta, mesej yang dibaca oleh pembaca juga akan menjadi kosong. Ngeri. Adakah kita sedar akan kebesaran risalah ini?

Kepada da’ie-da’ie yang akan menebarkan kata, semoga Allah makin mendekatkan hubungan kita padaNya, agar mesej yang ingin disampaikan dari hati akan sampai ke hati. Kerana tali ikatan ini hanya dipegang oleh Pemilik Hati. Jadi aku bertanya kembali.

Kenapa kita menulis?

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia.“
(Surah Al-Ahzab : 72)