"Thank youuu so much for this update! Jaga diri, jaga hati, jaga iman!"
Laila memeluk hangat sahabatnya setelah sesi "catch up" mereka. Lalu mereka pergi kearah yang bertentangan. Laila berjalan perlahan menuju keretanya. Butang unlock ditekan. Dia membuka enjin kereta. Memulai perjalanan dengan kelajuan 15 km/j dia menuju jalan keluar. Terlihat kelibat sahabatnya baru ingin masuk kereta. Sahabatnya melihatnya dan melambai. Laila menitip senyuman yang paling indah buat sahabatnya lalu kembali fokus pada jalan raya. Memasang signal, Laila pindah kejalan utama.
Tidak semena-mena air matanya jatuh berguguran. Hatinya terasa sempit.
"Ya Allah, aku ingin... aku ingin seperti satu waktu dulu. Lindungi sahabatku ya Allah. Tetapkan lah dia di jalan ini ya Allah. Lembutkan lah hatinya ya Allah. Dekatkanlah dia dengan al-Quran Mu ya Allah. Jadikanlah kami pejuang teguh agamaMu ya Allah."
Tinggal bunyi enjin kereta berdansa dengan tangisan Laila.
***
Dahulu kala aku beria-ia untuk bercerita bagaimana hendak merubah dunia
Kini lidahku kelu
Aku cuba belajar untuk memahami
Walau perit dan harus menelan rasa
Senyum saja..
Kau masih seseorang yang istimewa bagi diriku
Kau yang telah banyak membantuku menjadi diriku sekarang
Aku ingin bercakap tentang peritnya mujahadah
Tapi kefahaman kita kini sedikit sebanyak berbeza
Kita tahu Tuhan kita tetap sama
Allah, ajarkan aku untuk menerima
Kerana masing-masing punya kisah cerita
Siapalah pula aku untuk menebak asbabnya
Dalam setiap sujudku aku bertanya
Ya Allah, bagaimana meraikan perbezaan?
Aku masih ingin menjadi sahabat tempatmu mencurahkan perasaan
Dan aku cuba memahami minatmu.. dirimu
Ampun tika aku kekok
Kerana jiwaku sedang merintih
Tidakkah kau rindu?
Walau hanya secebis rasa
Apakah kau merasa pilu?
Aku... akan sentiasa berdo'a.
Hanya secebis rasa.
No comments:
Post a Comment