Thursday, August 3, 2017

Secebis Rasa

"Thank youuu so much for this update! Jaga diri, jaga hati, jaga iman!"

Laila memeluk hangat sahabatnya setelah sesi "catch up" mereka. Lalu mereka pergi kearah yang bertentangan. Laila berjalan perlahan menuju keretanya. Butang unlock ditekan. Dia membuka enjin kereta. Memulai perjalanan dengan kelajuan 15 km/j dia menuju jalan keluar. Terlihat kelibat sahabatnya baru ingin masuk kereta. Sahabatnya melihatnya dan melambai. Laila menitip senyuman yang paling indah buat sahabatnya lalu kembali fokus pada jalan raya. Memasang signal, Laila pindah kejalan utama.

Tidak semena-mena air matanya jatuh berguguran. Hatinya terasa sempit.

"Ya Allah, aku ingin... aku ingin seperti satu waktu dulu. Lindungi sahabatku ya Allah. Tetapkan lah dia di jalan ini ya Allah. Lembutkan lah hatinya ya Allah. Dekatkanlah dia dengan al-Quran Mu ya Allah. Jadikanlah kami pejuang teguh agamaMu ya Allah."

Tinggal bunyi enjin kereta berdansa dengan tangisan Laila.

***

Dahulu kala aku beria-ia untuk bercerita bagaimana hendak merubah dunia
Kini lidahku kelu
Aku cuba belajar untuk memahami
Walau perit dan harus menelan rasa

Senyum saja..
Kau masih seseorang yang istimewa bagi diriku
Kau yang telah banyak membantuku menjadi diriku sekarang

Aku ingin bercakap tentang peritnya mujahadah
Tapi kefahaman kita kini sedikit sebanyak berbeza

Kita tahu Tuhan kita tetap sama
Allah, ajarkan aku untuk menerima

Kerana masing-masing punya kisah cerita
Siapalah pula aku untuk menebak asbabnya

Dalam setiap sujudku aku bertanya 
Ya Allah, bagaimana meraikan perbezaan?

Aku masih ingin menjadi sahabat tempatmu mencurahkan perasaan
Dan aku cuba memahami minatmu.. dirimu

Ampun tika aku kekok
Kerana jiwaku sedang merintih

Tidakkah kau rindu?
Walau hanya secebis rasa

Apakah kau merasa pilu?
Aku... akan sentiasa berdo'a.

Hanya secebis rasa.

Sunday, July 30, 2017

Ke Langit Ketujuh

Aku peluk rindu erat-erat
Lalu ku biarkan ia terbang

Oh angin helakan tujuannya
Biar sampai pada destinasi asalnya

Di langit ketujuh..


Wednesday, July 19, 2017

Bintang

Aku selalu ingin menjadi bintang.

Kini ternyata,
Aku lebih ingin
Jika kau menjadi bintangku.

Disini
Aku menunggu.

Tuesday, June 27, 2017

Salam Aidilfitri

Apa guna bertanya kerja mana
Jika tidak punya kerja terus dilupa
Kalau punya kerja "Gaji berapa?"
Apa kaitan jumlah dengan ziarah Raya?

Apa perlu gaji tinggi
Upgrade kereta, pakaian hingga lupa diri
Aku bukan kata semua begini
Cuma masing-masing punya lain definisi

Biar saja aku bersahaja
Meski bukan citarasa semua
Pakaian juga biasa-biasa
Kerana bermewah-mewahan bukan saranan agama

Kahwin bila? Anak berapa?
Kenapa tidak tanya mati bila?
Adakah Ramadhan pergi begitu saja?
Mana hilang peringatan bersama?

OH YA
Sebelum aku lupa
Selamat Hari Raya
Ampun maaf dipinta

26.06.2017

Baru keluar Ramadhan sudah dihantui rasa amarah? Allahu. Sobrun jameel ya qalb.

Monday, June 26, 2017

Dia Yang Tertinggal

Nama yang berulang-ulang difikirkan ku di bulan Ramadhan
Kini di pagi Syawal nama itu tetap berlegar diminda

Ka'ab bin Malik.

Manakah Ka'ab pada Perang Tabuk? Dia terleka dan akhirnya tertinggal. Bukan dia tidak ingin ya Rasulullah. Sama sekali bukan kerana dia tidak ingin. Tapi... dia hanya terlalai. Lalai beberapa detik yang menjadi waktu yang panjang.

Bukankah dia telah berjanji untuk menyerahkan jiwa raganya untuk Islam?

Lantaran itu 50 hari para sahabat berdiam diri. Salam tidak berbalas. Sepi, sunyi, sendiri- hanya berbalik kepada Ilahi.

Aku balik-balik terfikir.
Adakah aku juga leka dengan "duniaku"?
Aku mohon tidak.
Aku mohon tidak.
Aku mohon tidak.

Ka'ab bin Malik.

Kau tak berputus asa. Kau kejar redha dan keampunanNya. Kau hambaNya yang setia. Hari ke 50. 

"Wahai Ka'ab bin Malik. Bergembiralah! Bergembiralah!" Allah telah memberi keampunan dek kejujuranmu. Berbahagialah. "Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui."
[9: 41]

Hari kemenangan telah tiba. Ruh, kau bagaimana?

Tuesday, April 11, 2017

Mati

Refleksi
Untuk mencari solusi
Kehidupan yang penuh dengan misteri
Sampai bila aku akan berhenti?

Mati.

Tuesday, March 8, 2016

Aku Ingin Kembali

"Patutkah aku pergi?"

Terkadang apabila ingin berkumpul dengan mereka yang berusaha meraih pahala aku rasa seperti seorang yang kurang upaya. Siapalah aku berbanding mereka? Ibadah yang semakin hari kian sayu. Mulut berkumat-kamit dengan hati yang tidak basah. Ah malu ingin jumpa. Bisikan hati begitu kuat. Minggu pertama aku beri alasan. Kerja. Keluarga. Majlis. Assignment. Minggu kedua. Minggu ketiga. Sehingga aku hilang dari tatapan. Aku tenggelam dalam khalayan bisikan.

Kini aku jauh... dari mereka. Aku cuma mejadi pemerhati. Mereka nampak gembira dan berbahagia walau aku tiada. Jikalau aku terjumpa dengan mereka aku cuma mampu memberi senyuman pintas lalu gopoh pergi.

Berhenti!

Apa yang telah terjadi? Kenapa aku begini? Yang pasti aku tidak sendiri. Dahulu aku beria-ia untuk berada dalam pelukan sayap malaikat. Tapi apakan daya apabila aku teruji dengan komitmen dan tarikan dunia, aku tewas. Segala yang baik dikaburi debu dalam kacamataku. Aku kembali bersendiri. Menjadi kambing yang lari dari kelompoknya... hanya menunggu untuk dibaham serigala. Dan yang paling sedih sekali, aku membenarkan ianya untuk terjadi.

Tekan "forward ×8"

... Aku beranikan diri muncul di majlis ilmu. Hatiku bergetar namun aku melangkah maju. Aku terjumpa mereka teman-teman hijrahku. Ku hulurkan tanganku dan menghadiahkan mereka senyuman janggalku.

"Assalamu'alaikum."

Senyuman balas mereka bagai sinar rembulan dimataku.

Alhamdulillah Ya Allah, Kau masih memilihku.