Wednesday, October 14, 2015

Monolog Diri

Terkadang amanah menulis itu menjadi berat. Sedarkah kita? Apa yang ditulis akan satu hari nanti disoalkan kembali kepada sang penulis. Dan ia lebih menakutkan jika sang penulis menulis untuk objektif yang abadi namun… tilawah al-Quran terbiar tidak diratapi. Dengan Al-Quran lah kita mengisi jiwa dengan iman. Iman itu pula akan menjadi tip pena yang akan menghiasi sesebuah penulisan. Lagi-lagi apabila penulisan itulah yang mungkin akan menjadi titik pandu seseorang mendapat hidayah. Jikalau sang penulis mengabaikan surat Sang Pencipta, mesej yang dibaca oleh pembaca juga akan menjadi kosong. Ngeri. Adakah kita sedar akan kebesaran risalah ini?

Kepada da’ie-da’ie yang akan menebarkan kata, semoga Allah makin mendekatkan hubungan kita padaNya, agar mesej yang ingin disampaikan dari hati akan sampai ke hati. Kerana tali ikatan ini hanya dipegang oleh Pemilik Hati. Jadi aku bertanya kembali.

Kenapa kita menulis?

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia.“
(Surah Al-Ahzab : 72)

Friday, October 9, 2015

Ku Milikmu

Aku tersenyum sendiri. Aku bersedia. Bersedia untuk menerima lamarannya. Telah lama dia menyatakan hasratnya untuk memilikiku. Cuma aku yang kerap menangguhkannya. Namun, dia tetap sabar menunggu. Saban hari, hatiku semakin terbuka untuk mengenalnya. Tidakkah namanya gila, untuk menerima lamaran tanpa perkenalan? Aku pun melalui proses perkenalan melalui orang tengah. Orang tengah ini bersungguh-sungguh melakukan tugasnya; memberitahuku sebaik-baik pengetahuan tentangnya.

Keyakinan timbul dalam diri. Kehadiran orang tengah lebih membuatku hilang rasa sangsi. Setiap kali aku memikirkannya, hatiku berdegup kencang. Jiwa terasa seperti bom yang hanya menunggu detik waktu untuk meletup. Perasaan apakah ini? Aku seperti terbang, jauh dan tinggi. Dan.. terciptalah satu hasrat di hati.

Aku tersenyum sendiri. Aku bersedia. Bersedia untuk menerima lamarannya. Waktunya telah tiba!

"Sudikah kau menerimaku apa adanya?"

"Ya."

"Lafazkanlah."

Aku menarik nafas yang mendalam.


"أشهدُ أنْ لا إلهَ إلاَّ الله وأشهدُ أنَّ محمّدًا رسولُ الله"
(Ashadu an la ilaha illa-llah wa ashadu anna Muhammadan Rasulallah. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang sebenar) melainkan Allah, dan aku juga bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah.)

Senyum.



Islam, kini aku milikmu.

Wednesday, September 23, 2015

Jatuh Cinta

Ramai yang ingin memperkenalkan ku padanya. Mereka kata, dia tulus mencintaiku. Aku cuma mampu tersenyum sinis. Benarkah? Adakah yang mampu mencintai dengan ikhlas di abad ini? Mustahil. Telah banyak cerita cinta yang aku saksikan telah berakhir dengan keperitan. Pintu hatiku sudah tertutup untuk memulakan sebuah kisah yang belum pasti akhirnya. Tapi mereka masih bertekad untuk mempertemukan kami. Kerana aku telah serik dengan ajakan untuk bertemu, mereka menitip bait-bait cintanya buatku. Satu demi satu surat aku baca, namun aku tidak berapa mengendahkannya. Kata-katanya kosong dimataku.

Cukup! Aku sudah berkali-kali hampa. Pengharapan seringkali berakhir dengan kesedihan. Bersendiri sudah memadai buatku. Namun kenapa... aku selalu merasa kesunyian? Ku hadiahkan hari-hariku dengan kegembiraan palsu. Akhirnya aku juga kecundang. Hati ini hakikatnya tercipta untuk mencintai. Tanpa mencintai ianya cuma sebuah botol kaca yang tidak berisi- keras dan kosong.

Aku mula mencari surat cintanya. Ku baca dengan linangan air mata. Dulu, aku telah mengeraskan hatiku pada yang mungkin menjadi harapan palsu, jadi pandanganku terkabur dari kata-katanya. Rupanya, hati yang ingin mencintai akan lebih memahami kata-kata puitisnya. Tanpa disedari, benteng-benteng yang aku cipta dihatiku kian hancur dan hatiku.. terhibur dengan keberadaannya. Kami belum bertemu tapi aku yakin dan pasti bahawa dialah satu-satunya untukku.

Izinkan aku berkata, aku telah jatuh cinta...

... pada Sang Pemilik Cinta.

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ
"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu."
[2:152]


Wahai Dzat yang Maha Agung, bilakah waktunya kita akan bertemu? Sungguh. Aku merinduiMu.

Monday, September 7, 2015

Kita Satu

Dalam kertas hati ku punya kamu
Saudara seagama-ku
Ikhlas aku mencintaimu
Dan aku impikan syurga dimana kita akan menyatu.

Monday, July 20, 2015

Helmet Kuning

Buat adik Helmet Kuning ku tersayang.

Hey ukhti,
jika Amirah bererti puteri dalam bahasa Arab
Tahukah dirimu,
Sarah dalam bahasa Ibrani juga bererti puteri?
*senyum

Ini cuma satu permulaan di antara pelbagai persamaan kita-

Jika lari pecut sukan kegemaranmu
Itu juga sukan kegemaranku
Jika buku teman sejatimu
Mereka juga teman sejatiku

... Biarlah waktu meleraikan lagi perkara yang medekatkan kita.


Kita berdua punya darah muda
Hamasah yang kian membara
Punya bahasa kerana ingin membina
Generasi yang sedang leka di alam fana

Kini ku mahu berkata sepatah dua
Buat kita yang selalu terlanjur bicara
Dan membuat banyak hati terluka
Kerana lidah itu kalah sembilu tajamnya

Sebelum memulai kata
Biar kalamNya dahulu yang bertakhta
di hati penuh noda
tapi masih ingin untuk membekas jiwa-jiwa

Biar kata yang diutarakan
Menjadi satu harapan
Buat mereka yang telah kehilangan
Arah dan juga tujuan

Semoga kata dan doa menyatu
Terbang tinggi diiringi waktu
Kenang kembali 103:3
AmanahNya buat kita.

"Orang bijaksana meletakkan lidahnya di belakang hati. Sebelum berkata-kata, mereka akan berfikir dahulu." (Hassan al-Basri)


Helmet Kuning & Kertas Hati

3 tahun ku terhenti disini,
kau punya satu lagi,
aku mohon jangan kau berhenti,
menyebarkan risalah yang diberi.

Dan pintaku..
Kenang daku dalam Rabithah-mu.

"Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami mengutusmu untuk menjadi saksi, pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru kepada (agama) Allah dengan izin-Nya dan sebagai cahaya yang menerangi. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang mukmin bahawa sesungguhnya bagi mereka karunia yang besar dari Allah."
[Al-Ahzab : 45 - 47]

Sunday, July 19, 2015

Pembimbing-ku




اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ
"Tunjukilah kami jalan yang lurus"
[Surah Al-Fatihah: 6]

Kerana pada suatu ketika
Jalan itu sunyi.. sepi
Tapi.. dengan izinNya
Sepasang tapak melangkahi
Dan membawaku bersamanya

Hari-hari kelamku kian terang
Jiwa terisi dengan nas-nas kebenaran
Kerana dia menjadi pembimbingku
Kini diriku.. bukan yang dahulu
Allah, aku bersyukur punya dia

Sanah helwah ukhti!
Jazakillahu khaiyran katheera.
Hanya Allah yang mampu membalas segala.

Friday, July 10, 2015

Misi Detoksifikasi

Aku seorang wanita zaman kini. Aku seorang wanita zaman kini yang juga hanyut dalam kemelaratan teknologi. Aku pengguna media masa yang setia. Lahirnya media sosial membuat hidupku mencecah satu alam baru; alam dimana aku boleh berkomunikasi dengan manusia berlainan benua. Sejak aku mampu menjadi seorang yang berpengaruh di media sosial, aku mula bahagia menceburi bidang alam maya ini. Aku punya tugas! Tugas untuk selalu membuat 'status' atau 'tweet' atau 'Insta-post' yang akan menjadi peringatan bagi semua. Rasa seperti diiktiraf menjadi seorang yang berguna.

Tch! Angan yang sia-sia.

Ramadhan ini... seorang ukh telah memberi satu misi untuk kurang mengguna media sosial. Aku berfikir lama jika aku mampu melakukannya. Namun Ramadhan tiba juga. Iblis dan konco-konconya diikat rapi, hasutan mereka jauh dari diri. Aku memulakan misi. Aku 'upgrade' misi menjadi cabaran untuk tidak aktif dalam media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram). Memang ianya cabaran. Masakan tidak, aku telah pergi ke berlainan tempat, melihat pemandangan indah, berjumpa dengan ramai orang- kebiasaanku untuk menceritakan pengalamanku dalam media sosial itu muncul selalu. Aku tidak tahu adakah ianya berkat Ramadhan yang membuatku mampu untuk berkata pada diri, "Tidak".

Oh! Rupanya aku mampu hidup tanpa media sosial. (Err. Baru sedar?)

Aku menggunakan media sosial dengan alasan supaya lebih akrab dengan keluarga dan sahabat handai. Ya, betul. Niat asal. Namun akhirnya kecundang juga diri dengan nafsu amarah (atau lawammah?). Menginginkan 'validation' secara tak sedar. Setiap satu acara hidup pasti ingin ditayangkan di layar media. Adakah hidup telah menjadi satu wayang? Belum lagi ditambah waktu untuk memikirkan dan menambah caption untuk dibaca (Instagram), status dan tweet untuk ditulis (Facebook dan Twitter) dan ciptaan hashtag yang juga mencipta drama. Apa rationale untuk membuat semua itu? Barangkali jika ditanya diri kenapa aktif dengan media sosial aku cuma mampu menjawab, "It's the norm (Sudah jadi kebiasaan)" or "Everyone does it (Semua orang melakukannya)". Dimana kaitannya dengan risalah yang dibawa?

Dahulu ketika aku berada di dalam bas atau kereta api, tanganku legar memegang handphone dan menyibukkan diri dengan media sosial. Ramadhan ini Alhamdulillah, setelah aku sekat diri dari aplikasi media sosial dalam handphone, aku mencari ganti peneman setia. Ku ganti handphone dengan Al-Quran. Dan hairan bin ajaib, rupanya aku mampu membaca 1 Juzuk dalam perjalanan yang memakan rangka masa satu jam atau lebih. Itu baru dalam gerabak pengangkutan. Kalau tidak pergi kemana-mana dan punya waktu terluang dirumah? Allahu Akbar!

Bahtera khayal yang dinaiki ini telah memiliki carta tertinggi di hati. Rupanya Ramadhan ini.. aku bukan hanya menahan diri dari minum dan makan, bahkan aku menahan diri dari aktif dari media sosial. Dan rupanya itu lebih membantuku untuk kembali ke kalam Tuhanku. Bukankah Allah telah berfirman:

"Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa diantara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah."
[Al-Baqarah : 185]

Allah telah mengaitkan Ramadhan dengan Al-Quran. Sekiranya ku putar kembali waktu dahulu, mungkin waktu yang ku guna pada media sosial, kalau ku guna untuk bersama dengan Al-Quran, aku mampu khatam berkali-kali dan lebih memahami dan akrab dengannya. Namun kerana khilaf diri, aku berdiri disini. Kemajuanku terhenti. Jadi 10 malam terakhir ini aku ingin lebih menyedarkan diri. Memikirkan kembali hakikat duniawi yang bukan realiti.

Aku seorang da'ie yang mengajak manusia untuk dekat pada Ilahi. Namun dalam tak sedar diri aku telah menghambakan diri pada duniawi.



Mungkin dengan berakhirnya Ramadhan aku akan lupa tentang penulisan ini. Kembali kepada diriku yang alpa dengan media sosial. Namun aku berdoa dan berharap, dengan hadirnya Ramadhan kali ini, aku akan mampu sering muhasabah diri, bagaimanakah kondisi diriku dimata Allah? Waktuku.. adalah lebih kepada duniawi atau mengingatiNya? Media sosial itu tidak salah. Yang salah cuma penggunanya yang sentiasa mudah leka akan tujuan asal kenapa menggunakannya. Adakah untuk membawa kepada Sang Kekasih Azali atau hanya sekadar untuk kepuasan diri? Wallahu'alam.

Ini.. refleksi Ramadhanku.