Aku tersenyum sendiri. Aku bersedia. Bersedia untuk menerima lamarannya. Telah lama dia menyatakan hasratnya untuk memilikiku. Cuma aku yang kerap menangguhkannya. Namun, dia tetap sabar menunggu. Saban hari, hatiku semakin terbuka untuk mengenalnya. Tidakkah namanya gila, untuk menerima lamaran tanpa perkenalan? Aku pun melalui proses perkenalan melalui orang tengah. Orang tengah ini bersungguh-sungguh melakukan tugasnya; memberitahuku sebaik-baik pengetahuan tentangnya.
Keyakinan timbul dalam diri. Kehadiran orang tengah lebih membuatku hilang rasa sangsi. Setiap kali aku memikirkannya, hatiku berdegup kencang. Jiwa terasa seperti bom yang hanya menunggu detik waktu untuk meletup. Perasaan apakah ini? Aku seperti terbang, jauh dan tinggi. Dan.. terciptalah satu hasrat di hati.
Aku tersenyum sendiri. Aku bersedia. Bersedia untuk menerima lamarannya. Waktunya telah tiba!
"Sudikah kau menerimaku apa adanya?"
"Ya."
"Lafazkanlah."
Aku menarik nafas yang mendalam.
"أشهدُ أنْ لا إلهَ إلاَّ الله
وأشهدُ أنَّ محمّدًا رسولُ الله"
(Ashadu an la ilaha illa-llah wa ashadu anna Muhammadan Rasulallah. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang sebenar) melainkan Allah, dan aku juga bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah.)
Senyum.
Islam, kini aku milikmu.
No comments:
Post a Comment