Tuesday, June 27, 2017

Salam Aidilfitri

Apa guna bertanya kerja mana
Jika tidak punya kerja terus dilupa
Kalau punya kerja "Gaji berapa?"
Apa kaitan jumlah dengan ziarah Raya?

Apa perlu gaji tinggi
Upgrade kereta, pakaian hingga lupa diri
Aku bukan kata semua begini
Cuma masing-masing punya lain definisi

Biar saja aku bersahaja
Meski bukan citarasa semua
Pakaian juga biasa-biasa
Kerana bermewah-mewahan bukan saranan agama

Kahwin bila? Anak berapa?
Kenapa tidak tanya mati bila?
Adakah Ramadhan pergi begitu saja?
Mana hilang peringatan bersama?

OH YA
Sebelum aku lupa
Selamat Hari Raya
Ampun maaf dipinta

26.06.2017

Baru keluar Ramadhan sudah dihantui rasa amarah? Allahu. Sobrun jameel ya qalb.

Monday, June 26, 2017

Dia Yang Tertinggal

Nama yang berulang-ulang difikirkan ku di bulan Ramadhan
Kini di pagi Syawal nama itu tetap berlegar diminda

Ka'ab bin Malik.

Manakah Ka'ab pada Perang Tabuk? Dia terleka dan akhirnya tertinggal. Bukan dia tidak ingin ya Rasulullah. Sama sekali bukan kerana dia tidak ingin. Tapi... dia hanya terlalai. Lalai beberapa detik yang menjadi waktu yang panjang.

Bukankah dia telah berjanji untuk menyerahkan jiwa raganya untuk Islam?

Lantaran itu 50 hari para sahabat berdiam diri. Salam tidak berbalas. Sepi, sunyi, sendiri- hanya berbalik kepada Ilahi.

Aku balik-balik terfikir.
Adakah aku juga leka dengan "duniaku"?
Aku mohon tidak.
Aku mohon tidak.
Aku mohon tidak.

Ka'ab bin Malik.

Kau tak berputus asa. Kau kejar redha dan keampunanNya. Kau hambaNya yang setia. Hari ke 50. 

"Wahai Ka'ab bin Malik. Bergembiralah! Bergembiralah!" Allah telah memberi keampunan dek kejujuranmu. Berbahagialah. "Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui."
[9: 41]

Hari kemenangan telah tiba. Ruh, kau bagaimana?

Tuesday, April 11, 2017

Mati

Refleksi
Untuk mencari solusi
Kehidupan yang penuh dengan misteri
Sampai bila aku akan berhenti?

Mati.

Tuesday, March 8, 2016

Aku Ingin Kembali

"Patutkah aku pergi?"

Terkadang apabila ingin berkumpul dengan mereka yang berusaha meraih pahala aku rasa seperti seorang yang kurang upaya. Siapalah aku berbanding mereka? Ibadah yang semakin hari kian sayu. Mulut berkumat-kamit dengan hati yang tidak basah. Ah malu ingin jumpa. Bisikan hati begitu kuat. Minggu pertama aku beri alasan. Kerja. Keluarga. Majlis. Assignment. Minggu kedua. Minggu ketiga. Sehingga aku hilang dari tatapan. Aku tenggelam dalam khalayan bisikan.

Kini aku jauh... dari mereka. Aku cuma mejadi pemerhati. Mereka nampak gembira dan berbahagia walau aku tiada. Jikalau aku terjumpa dengan mereka aku cuma mampu memberi senyuman pintas lalu gopoh pergi.

Berhenti!

Apa yang telah terjadi? Kenapa aku begini? Yang pasti aku tidak sendiri. Dahulu aku beria-ia untuk berada dalam pelukan sayap malaikat. Tapi apakan daya apabila aku teruji dengan komitmen dan tarikan dunia, aku tewas. Segala yang baik dikaburi debu dalam kacamataku. Aku kembali bersendiri. Menjadi kambing yang lari dari kelompoknya... hanya menunggu untuk dibaham serigala. Dan yang paling sedih sekali, aku membenarkan ianya untuk terjadi.

Tekan "forward ×8"

... Aku beranikan diri muncul di majlis ilmu. Hatiku bergetar namun aku melangkah maju. Aku terjumpa mereka teman-teman hijrahku. Ku hulurkan tanganku dan menghadiahkan mereka senyuman janggalku.

"Assalamu'alaikum."

Senyuman balas mereka bagai sinar rembulan dimataku.

Alhamdulillah Ya Allah, Kau masih memilihku.

Saturday, December 5, 2015

Lapis-Lapis Keberkahan


"Bahagia adalah kata paling menyihir dalam hidup manusia. Jiwa merinduinya. Akal mengharapinya. Raga mengejarnya. Tapi kebahagiaan adalah goda yang tega. Ia bayangan yang melipir jika difikir, lari jika dicari, tak tentu jika diburu, melesat jika ditangkap, menghilang jika dihadang. Di nanar mata yang tak menjumpa bahagia; insan lain tampak lebih cerah. Di denging telinga yang tak menyimak bahagia, insan lain terdengar lebih ceria. Di gerisik hati yang tak merasa bahagia; insan lain berkilau bercahaya."

Mungkin kerana aku terlalu mencari bahagia.. aku terlupa akan perlunya derita. Biarlah waktu ini aku terpaksa memulai sekali lagi. Mencari diri yang mengenal Ilahi.

Semuanya samar. Perasaanku hambar. Bagaimana mungkin satu kejadian mampu merubah duniaku 180 darjah? Aku ingin belajar mengikhlaskan. Satu suara menghasutku untuk membenci. Walhal telah diajar untuk menyayangi.

Ya aku harus benci. Pada diriku sendiri. Diriku sekarang yang seperti tak punya erti.

Ujian ini aku tak patut tewas. Ustadh Salim, jazakAllahu khaiyran katheera atas penulisan Lapis Lapis Keberkahan. Dalam diam kau banyak membantuku. Semoga Jannah menjadi destinasi terakhirmu.

Monday, November 23, 2015

Sekeping Kertas

Bila punya tissue dan bila minda melayari bahtera angan.

Ok. Aku berada dalam kursus. Hari yang ke... 11. Otakku telah liar mencari jalan keluar dari "knowledge overload".

Kerana sekeping kertas.


Keluh.

Aku rindu be'ah soleh(ah).

Sunday, October 18, 2015

Untukmu Sahabat Seperjuanganku

Buat ukhti yang sedang merasa lemah,

Tika kelopak matamu terbuka di dini hari, aku ingin kau tersenyum bahagia. Kerana masih punya waktu buatmu untuk memilih syurga. Bagaimana? Kata pada diri kau mampu berusaha!

Tanamkan dalam diri bahawa kau punyai kredibiliti untuk menginspirasi. Bila bergelar da'ie bukankah ianya tujuan yang suci? Ketahuilah, kau sebenarnya tidak bersendiri cuma barangkali kau terlalu memikirkan keadaanmu yang seperti tidak mempunyai fungsi.

Kita cuma punya satu nyawa. Aku tidak ingin nyawa itu terbiar lari entah kemana. Kerahkan sepenuh tenaga-mu untuk mencari redha Sang Pencipta. Usah membandingkan diri dengan teman tercinta. Seadanya, kau istimewa.

Jika aku diposisimu aku ingin lebih banyak membaca. Kerana pengembaraan-ku bermula dari Iqra! Sambil membantu ibu bapa tercinta, rumus satu perancangan buat kehidupan di dunia. Guna segala platform yang ada untuk menyebarkan risalah ternama.

Keluar dari zon selesamu. Ta'aruf dengan ukhti atau kakak-kakak yang belum sempat kau bertemu. Berjumpa dengan adik-adik atau sahabat yang sedang menunggu ketukan pintu. Kerana mereka akan memberimu lebih banyak ilmu. Berbeza pandangan mampu meluaskan fikiranmu untuk lebih maju.

Kenang kembali Sumayyah. Dia menegakkan kebenaran hanya dengan syahadah. Kini pesananku buatmu ialah jom mujahadah! Dengan sepenuh tenaga kita kerah buat akhirat yang cerah.

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ٠
(Al-Fajr : 27)

- Memberimu sebuah Paopu.