Tuesday, March 8, 2016

Aku Ingin Kembali

"Patutkah aku pergi?"

Terkadang apabila ingin berkumpul dengan mereka yang berusaha meraih pahala aku rasa seperti seorang yang kurang upaya. Siapalah aku berbanding mereka? Ibadah yang semakin hari kian sayu. Mulut berkumat-kamit dengan hati yang tidak basah. Ah malu ingin jumpa. Bisikan hati begitu kuat. Minggu pertama aku beri alasan. Kerja. Keluarga. Majlis. Assignment. Minggu kedua. Minggu ketiga. Sehingga aku hilang dari tatapan. Aku tenggelam dalam khalayan bisikan.

Kini aku jauh... dari mereka. Aku cuma mejadi pemerhati. Mereka nampak gembira dan berbahagia walau aku tiada. Jikalau aku terjumpa dengan mereka aku cuma mampu memberi senyuman pintas lalu gopoh pergi.

Berhenti!

Apa yang telah terjadi? Kenapa aku begini? Yang pasti aku tidak sendiri. Dahulu aku beria-ia untuk berada dalam pelukan sayap malaikat. Tapi apakan daya apabila aku teruji dengan komitmen dan tarikan dunia, aku tewas. Segala yang baik dikaburi debu dalam kacamataku. Aku kembali bersendiri. Menjadi kambing yang lari dari kelompoknya... hanya menunggu untuk dibaham serigala. Dan yang paling sedih sekali, aku membenarkan ianya untuk terjadi.

Tekan "forward ×8"

... Aku beranikan diri muncul di majlis ilmu. Hatiku bergetar namun aku melangkah maju. Aku terjumpa mereka teman-teman hijrahku. Ku hulurkan tanganku dan menghadiahkan mereka senyuman janggalku.

"Assalamu'alaikum."

Senyuman balas mereka bagai sinar rembulan dimataku.

Alhamdulillah Ya Allah, Kau masih memilihku.