Sunday, October 18, 2015

Untukmu Sahabat Seperjuanganku

Buat ukhti yang sedang merasa lemah,

Tika kelopak matamu terbuka di dini hari, aku ingin kau tersenyum bahagia. Kerana masih punya waktu buatmu untuk memilih syurga. Bagaimana? Kata pada diri kau mampu berusaha!

Tanamkan dalam diri bahawa kau punyai kredibiliti untuk menginspirasi. Bila bergelar da'ie bukankah ianya tujuan yang suci? Ketahuilah, kau sebenarnya tidak bersendiri cuma barangkali kau terlalu memikirkan keadaanmu yang seperti tidak mempunyai fungsi.

Kita cuma punya satu nyawa. Aku tidak ingin nyawa itu terbiar lari entah kemana. Kerahkan sepenuh tenaga-mu untuk mencari redha Sang Pencipta. Usah membandingkan diri dengan teman tercinta. Seadanya, kau istimewa.

Jika aku diposisimu aku ingin lebih banyak membaca. Kerana pengembaraan-ku bermula dari Iqra! Sambil membantu ibu bapa tercinta, rumus satu perancangan buat kehidupan di dunia. Guna segala platform yang ada untuk menyebarkan risalah ternama.

Keluar dari zon selesamu. Ta'aruf dengan ukhti atau kakak-kakak yang belum sempat kau bertemu. Berjumpa dengan adik-adik atau sahabat yang sedang menunggu ketukan pintu. Kerana mereka akan memberimu lebih banyak ilmu. Berbeza pandangan mampu meluaskan fikiranmu untuk lebih maju.

Kenang kembali Sumayyah. Dia menegakkan kebenaran hanya dengan syahadah. Kini pesananku buatmu ialah jom mujahadah! Dengan sepenuh tenaga kita kerah buat akhirat yang cerah.

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ٠
(Al-Fajr : 27)

- Memberimu sebuah Paopu.

Kemana Tuju Ukhuwah Ini?

(Post ini telah ditulis dan terpuruk di dalam draft lebih dari 7 bulan. Kini telah punya sedikit tambahan.)

Aku ingin menjauh. Terkadang ukhuwah menjadi pahit. Aku kenal itu dari dua tahun yang lalu. Sekarang aku insan yang bukan lagi seperti dulu. Tidak berharap dan mengharap. Terkadang aku terlalai dan mengharap, namun berkali-kali aku disedari bahawa aku patut kembali kuat bersendiri. Bukan bermaksud aku patut lari. Cuma aku perlu belajar menyintai diri. Mencintai itu perit jika seseorang yang kau cintai tidak mencintaimu sepertimana kau mencintainya. Kau mengharapkan pengorbanan yang sama darinya seperti mana kau melakukan dirinya? Jarang sekali. Atau terkadang kita mengharap kitalah manusia terpenting bagi dirinya. Namun dia mempunyai orang lain juga. Walau ya, dirimu penting baginya. Namun sepertimana dirimu, dirinya juga punya yang lain yang penting dalam hidupnya juga. Dan tidak. Aku tidak ingin menjadi orang ketiga. Sudah puas.

Aku tahu diriku. Aku tidak ingin menyakiti diriku. Aku tahu dimana batasku. Ketawa banyak hati menangis. Sudah puas. Aku tidak mengatakan aku lah orang yang paling menderita. Bukan. Aku paling akrab dengan sifat Umar R.A. Dia menginginkan justifikasi. Aku juga suka apabila sesuatu perkara itu adil dan saksama. Kalau bagiku ia tidak adil buat diriku, aku akan pergi. 

Ukhuwah itu masih indah. Namun manusia memang tamak. Inginkan keprihatinan dari seseorang insan istimewa. Aku tidak mendapatnya dari ukhuwah sesama kerana masing-masing punya ukhti lain juga yang lebih 'special'. Aku tidak mengatakan aku tidak 'special'. Cuma aku cemburu dan aku tidak ingin tahu apabila bukan diriku yang menjadi nombor 1.

Jadi aku faham kenapa Allah menjadikan sifat manusia mencintai. Aku yang dahulu tidak ingin bercinta kini tahu kenapa Allah memberi seseorang itu pasangan. Kerana mereka akan saling cuba memahami. Dan akan memberikan perhatian khusus cinta tulus murni kepada yang satu. Aku menunggu itu.

Jadi aku lebih mencari tokoh-tokoh seperti Zainab al-Ghazali yang berdiri sendiri. Seperti Saad ibn Abi Waqqas yang setelah kemantapannya dihantar jauh untuk menyebarkan Islam. Nanti kita juga akan sendiri. Lebih baik aku menyendiri awal. Tapi aku bukan lari menjauh. Cuma aku lebih ingin berhati-hati menjaga hati dari dimakan bujukan hawa nafsu.

Memang cara ku menulis, membuatku seperti orang yang paling sedih didalam dunia namun ini cuma penulisan. Ketahuilah aku akan bangkit.

Aku teringat lirik lagu yang aku terkesankan dulu. 

Nobody knows who I really am
I never felt this empty before
And if I ever need someone to come along
Who's gonna comfort me and keep me strong

We are all rowing the boat of fate
The waves keep on comin' and we can't escape
But if we ever get lost on our way
The waves would guide you through another day

Pembimbingku? Allah :) Aku tahu itu.

Pembaca yang ku kasihi sekalian, ukhuwah itu penting cuma terkadang kita tersilap langkah. Bila diri rasa tidak diiktiraf atau disayangi, hati mula meronta dan tanpa disedari jauh dari Allah, jauh dari orang-orang yang membawa kita dekat pada Allah, kerana kita mengharap pada si pembawa itu lebih dari Pencipta sang pembawa. Berhenti sejenak dan muhasabah! Perasaan itu tidak disangkal ada namun apakah ia akan membantu pejuang-pejuang Islam yang lainnya? Bukankah perasaan itu akan membebankan misi? Misi yang satu iaitu tauhid! Mengesakan Allah.

Jika dirimu terasa sakit akan hal begini, semak kembali sirah Rasulullah S.A.W, kisah khulafa Ar-Rasyidin, kisah para-para sahabah sahabiyah dan para tabi'en. Mereka cuma punya 'one track mind' untuk kemenangan Islam, dan bukan untuk melayan hawa nafsu semata. Kasih yang mereka inginkan cuma dari Allah. Kerana apabila kasih Allah tercapai, kasih manusia akan datang sewaktu dengannya.

"Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, niscaya meraka dapat mengalahkan seribu orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan dia telah mengetahui bahwa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir, dan jika di antaramu ada seribu orang, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan seizin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."
(Al-Anfal : 65 - 66)

Bagaimana kita mampu berperang jika diri belum 'settle' dengan isu-isu kecil? Umat Islam selagi belum bersatu saf takkan mampu mengalahkan musuh. Wajarkah kita berkecil hati dan tidak berlapang dada dengan saudara Islam kita? Dan aku tidak bermaksud berperang yakni makna literal. Aku bermaksud perang jihad dengan ilmu dan diri. Kehidupan seharian kita. Adakah kita terlalu berbahagia dalam keindahan ukhuwah atau kita menjadi penggerak semangat untuk sekalian saudara untuk berbakti pada Ilah tercinta?

Bila aku membaca buku Abdul Latip Talib, tentang Khalid, tentang Al-Fateh, tentang Salahuddin dan lainnya, semangat ku meronta-ronta keapian. Dan ia membunuh segala rasa-rasa remeh di fikiran. Jadi kini aku ingin bangkit, menjadi pejuang Islam.

Seperti Khaulah Al-Azwar.

Wednesday, October 14, 2015

Monolog Diri

Terkadang amanah menulis itu menjadi berat. Sedarkah kita? Apa yang ditulis akan satu hari nanti disoalkan kembali kepada sang penulis. Dan ia lebih menakutkan jika sang penulis menulis untuk objektif yang abadi namun… tilawah al-Quran terbiar tidak diratapi. Dengan Al-Quran lah kita mengisi jiwa dengan iman. Iman itu pula akan menjadi tip pena yang akan menghiasi sesebuah penulisan. Lagi-lagi apabila penulisan itulah yang mungkin akan menjadi titik pandu seseorang mendapat hidayah. Jikalau sang penulis mengabaikan surat Sang Pencipta, mesej yang dibaca oleh pembaca juga akan menjadi kosong. Ngeri. Adakah kita sedar akan kebesaran risalah ini?

Kepada da’ie-da’ie yang akan menebarkan kata, semoga Allah makin mendekatkan hubungan kita padaNya, agar mesej yang ingin disampaikan dari hati akan sampai ke hati. Kerana tali ikatan ini hanya dipegang oleh Pemilik Hati. Jadi aku bertanya kembali.

Kenapa kita menulis?

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia.“
(Surah Al-Ahzab : 72)

Friday, October 9, 2015

Ku Milikmu

Aku tersenyum sendiri. Aku bersedia. Bersedia untuk menerima lamarannya. Telah lama dia menyatakan hasratnya untuk memilikiku. Cuma aku yang kerap menangguhkannya. Namun, dia tetap sabar menunggu. Saban hari, hatiku semakin terbuka untuk mengenalnya. Tidakkah namanya gila, untuk menerima lamaran tanpa perkenalan? Aku pun melalui proses perkenalan melalui orang tengah. Orang tengah ini bersungguh-sungguh melakukan tugasnya; memberitahuku sebaik-baik pengetahuan tentangnya.

Keyakinan timbul dalam diri. Kehadiran orang tengah lebih membuatku hilang rasa sangsi. Setiap kali aku memikirkannya, hatiku berdegup kencang. Jiwa terasa seperti bom yang hanya menunggu detik waktu untuk meletup. Perasaan apakah ini? Aku seperti terbang, jauh dan tinggi. Dan.. terciptalah satu hasrat di hati.

Aku tersenyum sendiri. Aku bersedia. Bersedia untuk menerima lamarannya. Waktunya telah tiba!

"Sudikah kau menerimaku apa adanya?"

"Ya."

"Lafazkanlah."

Aku menarik nafas yang mendalam.


"أشهدُ أنْ لا إلهَ إلاَّ الله وأشهدُ أنَّ محمّدًا رسولُ الله"
(Ashadu an la ilaha illa-llah wa ashadu anna Muhammadan Rasulallah. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang sebenar) melainkan Allah, dan aku juga bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah.)

Senyum.



Islam, kini aku milikmu.

Wednesday, September 23, 2015

Jatuh Cinta

Ramai yang ingin memperkenalkan ku padanya. Mereka kata, dia tulus mencintaiku. Aku cuma mampu tersenyum sinis. Benarkah? Adakah yang mampu mencintai dengan ikhlas di abad ini? Mustahil. Telah banyak cerita cinta yang aku saksikan telah berakhir dengan keperitan. Pintu hatiku sudah tertutup untuk memulakan sebuah kisah yang belum pasti akhirnya. Tapi mereka masih bertekad untuk mempertemukan kami. Kerana aku telah serik dengan ajakan untuk bertemu, mereka menitip bait-bait cintanya buatku. Satu demi satu surat aku baca, namun aku tidak berapa mengendahkannya. Kata-katanya kosong dimataku.

Cukup! Aku sudah berkali-kali hampa. Pengharapan seringkali berakhir dengan kesedihan. Bersendiri sudah memadai buatku. Namun kenapa... aku selalu merasa kesunyian? Ku hadiahkan hari-hariku dengan kegembiraan palsu. Akhirnya aku juga kecundang. Hati ini hakikatnya tercipta untuk mencintai. Tanpa mencintai ianya cuma sebuah botol kaca yang tidak berisi- keras dan kosong.

Aku mula mencari surat cintanya. Ku baca dengan linangan air mata. Dulu, aku telah mengeraskan hatiku pada yang mungkin menjadi harapan palsu, jadi pandanganku terkabur dari kata-katanya. Rupanya, hati yang ingin mencintai akan lebih memahami kata-kata puitisnya. Tanpa disedari, benteng-benteng yang aku cipta dihatiku kian hancur dan hatiku.. terhibur dengan keberadaannya. Kami belum bertemu tapi aku yakin dan pasti bahawa dialah satu-satunya untukku.

Izinkan aku berkata, aku telah jatuh cinta...

... pada Sang Pemilik Cinta.

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ
"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu."
[2:152]


Wahai Dzat yang Maha Agung, bilakah waktunya kita akan bertemu? Sungguh. Aku merinduiMu.

Monday, September 7, 2015

Kita Satu

Dalam kertas hati ku punya kamu
Saudara seagama-ku
Ikhlas aku mencintaimu
Dan aku impikan syurga dimana kita akan menyatu.

Monday, July 20, 2015

Helmet Kuning

Buat adik Helmet Kuning ku tersayang.

Hey ukhti,
jika Amirah bererti puteri dalam bahasa Arab
Tahukah dirimu,
Sarah dalam bahasa Ibrani juga bererti puteri?
*senyum

Ini cuma satu permulaan di antara pelbagai persamaan kita-

Jika lari pecut sukan kegemaranmu
Itu juga sukan kegemaranku
Jika buku teman sejatimu
Mereka juga teman sejatiku

... Biarlah waktu meleraikan lagi perkara yang medekatkan kita.


Kita berdua punya darah muda
Hamasah yang kian membara
Punya bahasa kerana ingin membina
Generasi yang sedang leka di alam fana

Kini ku mahu berkata sepatah dua
Buat kita yang selalu terlanjur bicara
Dan membuat banyak hati terluka
Kerana lidah itu kalah sembilu tajamnya

Sebelum memulai kata
Biar kalamNya dahulu yang bertakhta
di hati penuh noda
tapi masih ingin untuk membekas jiwa-jiwa

Biar kata yang diutarakan
Menjadi satu harapan
Buat mereka yang telah kehilangan
Arah dan juga tujuan

Semoga kata dan doa menyatu
Terbang tinggi diiringi waktu
Kenang kembali 103:3
AmanahNya buat kita.

"Orang bijaksana meletakkan lidahnya di belakang hati. Sebelum berkata-kata, mereka akan berfikir dahulu." (Hassan al-Basri)


Helmet Kuning & Kertas Hati

3 tahun ku terhenti disini,
kau punya satu lagi,
aku mohon jangan kau berhenti,
menyebarkan risalah yang diberi.

Dan pintaku..
Kenang daku dalam Rabithah-mu.

"Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami mengutusmu untuk menjadi saksi, pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru kepada (agama) Allah dengan izin-Nya dan sebagai cahaya yang menerangi. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang mukmin bahawa sesungguhnya bagi mereka karunia yang besar dari Allah."
[Al-Ahzab : 45 - 47]